Thursday 16 February 2017

Sikap fanatik kepada sesuatu pegangan atau jumud pemikiran boleh menatijahkan beberapa akhlak yang buruk. Antaranya, ia menyebabkan seseorang itu selalu berfikiran negatif terhadap orang yang berbeza pendapat dengannya. Ini seperti menuduh orang yang berbeza pendapat dengannya itu sebagai jahat, musuh dan seumpamanya.
Bahkan lebih buruk daripada itu mereka yang berpenyakit fanatik ini sering cenderung membuat fitnah dan tuduhan palsu kepada orang lain apabila mereka kehilangan hujah dan alasan bagi mempertahankan apa yang mereka pegang. Mereka akan mengada-adakan tuduhan palsu agar orang ramai terpengaruh dan tidak mendengar hujah pihak yang berbeza dengan mereka.
Di Malaysia umpamanya, apabila ada pihak yang menyatakan ‘tiada dalil yang sahih yang menyatakan dikhususkan malam Jumaat untuk membaca Surah Yasin’, maka golongan yang tidak dapat menerima perbezaan ini membuat cerita bohong kepada orang ramai kononnya ‘puak tersebut menyatakan haram membaca Yasin’. Tentu mereka yang terpengaruh dengan tuduhan ini akan marah dengan kenyataan yang seperti itu. Mana mungkin haram untuk membaca Surah Yasin sedang itu salah satu surah dalam al-Quran?! Lihat bagaimana mereka mengubah kenyataan dan fakta sehingga orang menjadi keliru dan bersalah sangka terhadap maksud asal kenyataan.
Demikian juga apabila ada yang membuat kenyataan menyatakan ‘tiada sebarang solat khusus untuk malam Jumaat’. Mereka yang pantang berbeza pendapat itu memberitahu orang ramai ‘puak itu kata haram solat sunat malam Jumaat’. Padahal maksud tiada solat khusus itu ialah tiada solat khas sempena malam Jumaat sahaja, adapun solat-solat sunat yang biasa tiada halangan.
Ini disebut oleh baginda Nabi s.a.w: Jangan kamu mengkhususkan malam Jumaat dengan solat yang berbeza dengan malam-malam yang lain. Jangan kamu mengkhususkan hari Jumaat dengan puasa yang berbeza dengan hari-hari yang lain, kecuali ia dalam (bilangan hari) puasa yang seseorang kamu berpuasa (Riwayat Muslim).
Sikap ini akan terserlah buruknya apabila mereka pantang mendengar pandangan atau kritikan terhadap aliran mazhab yang mereka pegang sekalipun dalam keadaan yang ilmiah.
Dalam dunia ilmu, berbeza pandangan tidak pernah dianggap jenayah. Namun golongan yang fanatik selalu mencari jalan permusuhan dengan mengandaikan sesiapa yang berbeza dengan tokoh tertentu maka dia menghina dan tidak beradab. Selagi pandangan itu diberikan dalam lingkaran ilmu dan perbincangan ilmiah tanpa maki dan cerca, maka itu adalah dunia ilmu yang patut diberikan haknya.
Jangan kerana kita begitu rakus agar semua cakap kita didengari apabila ada orang berbeza dengan kita, dia dianggap musuh. Marilah kita belajar menilai pandangan dan menghormati perbezaan. Berbeza bukan bererti menghina. Kata al-Imam al-Zahabi juga: “Setiap orang boleh diambil dan ditolak pendapatnya, kecuali Rasulullah SAW. Namun jika seseorang imam itu tersilap dalam ijtihadnya, tidak wajar untuk kita melupai kebaikan-kebaikannya dan menutup amalan-amalan makrufnya. Bahkan kita beristighfar untuknya dan memaafkannya” (Al-Zahabi,Siyar A’lam al-Nubala, 18/157
ISLAMIC JOURNAL
LikeShow more reactions
Comment

0 comments:

Post a Comment

Theme Support

Popular Posts

Text Widget

Blog Archive